Ikhlas dalam bersahabat
– Dhiyauddin Aziz
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi
SAW bersabda yang bermaksud:
“Seseorang itu adalah bersama dengan
orang yang dikasihi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
pengajaran: sesiapa yang mengasihi suatu
golongan itu dengan ikhlas, maka kasih sayangnya itu akan mendorongnya untuk
melakukan amalan yang sama dengan golongan tersebut.
Bismillah…
Jari-jemari ini mula memulakan langkah untuk
menarikan kata-kata, insyallah bermanfaat buat sidang pembaca sekalian. Penulis
bukanlah seorang imam yang besar, juga bukanlah seorang menteri kepada sebuah
negara, mahupun seorang yang profesor, tapi cukuplah seorang hamba Allah yang
sedia untuk menyampaikan sedikit pengisian sebagai satu medium dakwah buat
tatapan pembaca sekalian agar menjadi sebuah kiasan minda dalam jalan hidup
sebagai seorang muslim jalanan.
Sebagai seorang muslim, penulis cuba untuk
melaksanakan apa yang disarankan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. di mana
kata-katanya yang sentiasa terpahat di hati seorang manusia yang mengakui
dirinya Islam iaitu “Sampaikanlah walaupun sepotong ayat”. Buat pembaca
sekalian, sepotong hadis yang hendak dikongsikan adalah Hadis yang diriwayatkan
oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. di dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Makna hadis yang dinyatakan di atas adalah “seseorang
itu adalah bersama dengan orang yang dikasihi”. Jika difahami secara amnya
hadis ini menyarankan supaya dalam mengenali seseorang itu perlulah adanya
sifat ikhlas dan kasih mengasihi supaya kita dapat bersama dengannya.
Pengalaman penulis sendiri melihat bagaimana
kesan daripada pengaruh persahabatan dalam mencorakkan rentak hidup penulis
sendiri. Hal ini berlaku ketika penulis berada di alam persekolahan dahulu. Secara
amnya, apabila kita bersama rakan-rakan yang cenderung ke arah melakukan
kemaksiatan, diri yang mempunyai jiwa yang lemahnya iman dan prinsip ini pasti
mudah untuk terjebak dan mengikuti cara rakan-rakan sedemikian. Di
tambahnya dengan ceteknya ilmu pengetahuan menyebabkan fikiran ini tidak berfikir
panjang untuk memutuskan sesuatu keputusan.
Sebaliknya perkara yang kontra berlaku apabila
kita bergaul dengan rakan-rakan yang cenderung melakukan kebaikan dan
sentiasa menasihati dan menegur kita apabila kita tersalah langkah dalam
mengatur tindakan. Diri yang hanya berjiwa muda dan mudah untuk dilenturkan
amat mudah untuk menerima kata-kata daripada seseorang itu. Selain itu, ilmu
yang kian bertambah hari demi hari mengajar diri ini untuk lebih mendewasakan
pemikiran dan tindakan.
Namun bagi penulis, kedua-dua situasi di atas
telah banyak mengajar penulis mengenali diri penulis itu sendiri sama ada dalam
bentuk pemikiran mahupun tindakan. Perkara-perkara yang berlaku mengajar erti
bersyukur kepada Ilahi di mana dipertemukan dengan seseorang yang digelarkan sahabat
itu telah mencorakkan warna-warni dalam melayari kanvas kehidupan. Penulis
merasakan perkara yang sama kemungkinan turut berlaku kepada sidang pembaca
sekalian.
Buat sidang pembaca yang dikasihi, berdasarkan
kenyataan hadis dan sebuah ringkasan umum peribadi penulis yang dikongsikan telah
menyarankan penulis untuk mengemukakan sebuah tajuk untuk diketengahkan di mana
tajuknya yang berbunyi “ikhlas dalam bersahabat”.
Apabila berbicarakan tentang sahabat, terlintas
hati ini untuk memetik sepotong ayat Al-Quran di dalam surah Al-Zukhruf:67
maksudnya :
“(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat
saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa”.
Ayat di atas memperingatkan kepada setiap
manusia di mana ketaqwaanlah yang akan diukur di akhirat kelak. Oleh itu, dalam
bersahabat penuhilah diri ini dengan ketaqwaan kepada Allah iaitu takut kepada
Allah. Takut kepada Allah ini diterjemahkan sebagai kita mengikuti dan
melakukan syariat ataupun perintah Allah dan kita menjauhi dan meninggalkan
larangan Allah.
Hubungan manusia sesama manusia dapat dibentuk
dengan baiknya jika kita menjaga hubungan manusia dengan tuhannya. Akhlak
seseorang itu dibentuk daripada dalam iaitu hatinya. Benarlah kenyataan Imam
ghazali di mana hati itu adalah raja dalam diri. Jika baik hatinya maka baiklah
akhlaknya.
Terlintas pula di hati penulis untuk
dikongsikan sebuah kisah sahabat Rasulullah yang dapat dicontohi buat pembaca
sekalian. Kisah ini berlaku ketika peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad
S.A.W. ke kota Madinah yang mana pertama kalinya berlaku penyatuan yang
bersejarah dalam Islam iaitu penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar. Walaupun, baru
sahaja berkenalan namun hubungan sesama mereka ibarat sudah berkenalan agak lama.
Kisah seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Auf yang mana beliau adalah
seorang peniaga yang berjaya di Makkah suatu ketika dahulu sebelum berhijrah ke
Kota Madinah. Hijrahnya telah memaksanya meniggalkan segala hartanya demi
menyempurnakan dakwah Islam itu. Namun pengorbanannya tidaklah sia-sia di mana
bermulanya persahabatan dengan kaum ansar di Kota Madinah memberinya satu
peluang baru untuk menjadikan peniaga yang berjaya juga. Hal ini berlaku
apabila sahabat daripada kaum ansar mempelawakan pelbagai kemudahan untuknya,
namun hanya satu yang diminta supaya diberikan sedikit modal dan sebuah tapak
untuk berniaga di Kota Madinah. Akhirnya terbukti apabila beliau menjadi salah
seorang peniaga yang terkenal di Kota Madinah dan berjaya memiliki segala
perkara yang ditawarkan oleh sahabat daripada Ansar itu dengan usahanya
sendiri.
Sebagai
mengakhiri coretan penulis ini, sekali lagi penulis ingin mengulangi tajuk
perkongsian ini iaitu ikhlaslah dalam bersahabat. Mudah-mudahan dengan coretan yang
tak sebeberapa ini ini dapat memberi serba sedikit nasihat dan motivasi kepada
sidang pembaca sekalian dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba kepada
pencipta. Kiasannya, ibarat usaha untuk mencorakkan warna-warni kehidupan pada
kanvas putih kehidupan. Sebagai penutup, ingatlah hubungan muslim sesama muslim
itu ibarat sebuah anggota badan, jika terdapat salah satu daripada anggota yang
sakit maka sakitnya terasa keseluruh anggota. Wallahualam…