Islam - Sejarah Pemeliharaan Kemurniaan Al-Quran (Al-Quran di masa Abu Bakar r.a.) – Dhiyauddin Aziz
Selepas kematian baginda Rasulullah
S.A.W. Para sahabat dalam kalangan Ansar
dan Muhajirin, sepakat melantik Abu Bakar r.a. sebagai khalifah. Ketika ini,
ramai di antara mereka masih belum kuat pegangan imannya terutama golongan
daripada kawasan Nedjad dan Yaman. Dilema yang dihadapi adalah golongan yang
murtad dari agama dan golongan yang menolak untuk membayar zakat. Selain itu
masalah nabi palsu di mana terdapat dalam kalangan mereka yang mengaku sebagai
nabi. Semua dilema ataupun masalah ini dihadapi oleh Abu Bakar r.a. dengan
tegas, sehingga dia berkata kepada golongan yang menolak untuk membayar zakat
“Demi Allah ! Kalau mereka menolaku
untuk menyerahkan seekor anak kambing sebagai zakat (seperti apa) yang pernah
mereka serahkan kepada Rasulullah, nescaya aku akan memerangi mereka”.
Maka tercetusnya peperangan yang hebat
untuk menumpaskan mereka yang murtad dan dan pengikut-pengikut orang yang
mengaku dirinya sebagai nabi itu. Di antara peperangan yang terkenal adalah peperangan Yamamah. Di dalam
peperangan ini, tentera Islam yang mengikuti peperangan ini antaranya daripada
para sahabat dan dan daripada para penghafal Al-Quran. Daripada peperangan ini
seramai 70 orang penghafal Al-Quran telah syahid.
Oleh kerana Umar bin Khattab r.a. risau
akan berlakunya lebih ramai para sahabat penghafal Al-Quran yang akan gugur di
medan peperangan, maka dia mendatangi Abu Bakar untuk bermesyuarat tentang
masalah ini. Dalam buku-buku tafsir dan hadith yang menceritakan tentang
percakapan yang berlaku antara Abu Bakar r.a. , Umar bin Khattab r.a. dan Zaid
bin Tsabit mengenai pengumpulan Al-Quran diterangkan sebagai berikut :
Umar berkata kepada Abu Bakar:
“Dalam peperangan
Yamamah para sahabat yang menghafal Al-Quran telah banyak syahid di medan
peperangang. Saya risau akan gugurnya para sahabat yang lain dalam peperangan
selanjutnya, sehingga banyak ayat-ayat Al-Quran yang hilang sebab kematian
mereka. Oleh sebab itu, saya berpendapat Al-Quran itu perlu dikumpulkan”.
Abu Bakar menjawab :
“Mengapa aku akan
melakukan sesuatu yang tidak diperbuat oleh Rasulullah?”.
Umar menegaskan :
“Demi Allah ! Ini
adalah perbuatan yang baik”.
Umar berulang kali memberikan
alasan-alasan kebaikan pengumpulan Al-Quran ini, sehingga Allah membukakan
pintu hati Abu Bakar untuk menerima pendapat Umar itu. Kemudian Abu Bakar
memanggil Zaid bin Thabit dan berkata kepadanya:
“Umar ini mengajakku
mengumpulkan Al-Quran “.
Lalu diceritakan segala perbualannya
dengan Umar. Kemudian Abu Bakar berkata:
“Engkau adalah
seorang pemuda yang cerdas yang ku percayai sepenuhnya. Dan engkau adalah
seorang penulis wahyu yang selalu disuruh oleh Rasulullah. Oleh kerana itu,
maka kumpulkan ayat-ayat Al-Quran itu”.
Zaid menjawab :
“Demi Allah ! Ini
adalah pekerjaan yang berat bagiku. Seandainya aku diperintahkan untuk
memindahkan sebuah bukit, maka hal itu tidaklah lebih berat bagiku daridapa
mengumpulkan Al-Quran yang engkau perintahkan itu”.
Seterusnya dia berkata kepada Abu Bakar
dan Umar :
“Mengapa kamu
melakukan sesuatu yang tidak diperbuat oleh Nabi?”
Abu Bakar menjawab :
“Demi Allah ! Ini adalah perbuatan
yang baik”.
Kemudian, Abu Bakar memberikan alasan-alasan
kebaikan pengumpulan ayat-ayat Al-Quran itu sehingga membukakan pintu hati
Zaid, kemudian dia mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran daripada daun, pelepah
kurma, batu, tanah keras, tulang unta atau kambing dan daripada sahabat-sahabat
yang menghafal Al-Quran.
Dalam usaha mengumpulkan Ayat Al-Quran,
Zaid bin Thabit bekerja dengan
penuh ketelitian. Walaupun dia telah menghafal
keseluruhan Al-Quran, tetapi untuk kepentingan umat Islam sejagat ayat-ayat
Al-Quran masih dirujuk kepada hafalan ataupun catatan sahabat-sahabat yang lain
dengan disaksikan oleh dua orang saksi.
Oleh
yang demikian, Al-Quran seluruhnya telah ditulis oleh Zaid bin Thabit dalam
lembaran-lembaran dan diikatnya dengan benang, tersusun menurut urutan
ayat-ayatnya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Rasulullah, kemudian
diserahkan kepada Abu Bakar. Mushaf ini tetap ditangan Abu Bakar sampai ia
meninggal, kemudian dipindahkan ke rumah Umar bin Khattab dan tetap ada di sana
selama pemerintahannya. Sesudah beliau wafat, Mushaf itu dipindahkan ke rumah
Hafsah , puteri Umar isteri Rasulullah sehingga pengumpulan dan penyusunan
Al-Quran berlaku di masa Khalifah Utsman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan