BaNNerS

BannerFans.com

Teman Blogger

Ahad, 30 Mei 2010

Kekurangan itu Mengajar Seseorang...

Jejak Sahabat~jelajah penang


Akhirnya... jejak sahabat yang dirancang selama 2 bulan ini telah berjaya dilakukan.
Perjalanan selama sehari di sekitar Pulau Pinang menjadi pendekatan dalam aktiviti ini.
Ada pepatah cendiakawan mengatakan jika kita hendak mengenali seseorang, kita berjalan bersama-sama denganya untuk kita tahu tentang dirinya.

Teringat tentang sebuah cerita yang diceritakan oleh Ayahanda pengetua kolej sendiri.
Ceritanya selari dengan tema berjalan bersama-samanya.


Pada pagi hari Sabtu itu, kami bermula dengan aktiviti bermain bowling di Penang Bowl. Kemudian makan tengah hari di Padang Kota Lama.
Lepas tu melawat muzium perang.
Melawat kawan di Hospital Bersalin.
Makan di Astaka.



"Semusim bersama, Seabad terasa"


Ada satu permandangan yang aku tertarik dengan kecantikannya. Keadaan di tepi pantai Kerachut. Pantai yang tak pernah diterokai manusia yang mementingkan pemeliharaan alam semula jadi. Aku bersyukur, Ya Allah menjadi manusia di muka bumi ini..



Harap akan dapat dibuat lagi selepas ini. Reunion Ex-Skai 2001.
Jumpa lagi...

Sabtu, 29 Mei 2010

Jungle Tracking di Pantai Kerachut di Pulau Pinang


Pantai Kerachut

Kelmarin, penulis bersama rakan-rakan seramai 4 orang telah pergi ke Pantai Kerachut. Sidang pembaca tahu tak di mana letaknya pantai kerachut ini ? Mesti ada yang tahu dan ada yang tak tahu. Bagi yang tahu duduk diam-diam, bagi yang tidak pula biar penulis cerita sikit tentang apa yang menarik dengan pantai kerachut ini.

Pantai Kerachut terletak di Taman Negara Pulau Pinang, lokasinya di Kampung Nelayan, Teluk Bahang, Pulau Pinang. Tapi pantai kerachut ini terletak di sebalik bukit dari kampung nelayan ini, sebab tu la permandangannya indah dan cantik.

Cara nak ke sana ada dua kaedah sama ada nak berjalan ataupun naik bot. Kalau berjalan, memang mencabar. Bagi yang meminati 'jungle tracking' boleh la datang ke sini. Perjalanan untuk sampai ke pantai tersebut mengambil masa 1 jam. Bagi menaiki bot hanya 20 minit sahaja. Penulis lebih menggalakkan ke pantai tersebut dengan berjalan kaki, baru la mencabarkan.

Di pantai ini juga ada sebuah tasik yang unik dimana terdapat dua lapisan air di tasik tersebut di bawah air laut dan di atasnya pula air tasik. Itu sebab unik.

Penulis dapat rasakan satu pengalaman yang indah bersama teman-teman sebab dapat tawan pantai kerachut tersebut dengan berjalan. fuh, penulis sarankan sidang pembaca pergi untuk cuba pengalaman baru.

Meneroka flora dan fauna sambil menghayati keindahan ciptaan alam semula jadi yang diciptakan oleh-Nya.

Subhanallah... kebesaran ilahi....alhamdulillah.....dijadikan sebagai manusia di muka bumi ini.....Allahuakbar.... Semua itu susunan dan aturan-Nya.

'Malaysia Truly Asia'


Rabu, 26 Mei 2010

Negaraku Oh Malaysia...



Baru-baru ni ada berlangsungnya Citrawarna Malaysia di Dataran Merdeka. Acara ini di adakan untuk memperkenalkan kepada pelancong luar negara tentang kepelbagaian budaya yang ada di negara Malaysia. Program ini anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia. Tahniah atas usaha yang dilakukan bagi menarik minat lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke Malaysia.

Beribu orang yang datang dan beribu juga la yang turut serta dalam perarakan pada malam itu. Pelbagai NGO dan pelajar dari pelbagai tahap menyertai acara ini, pelajar sekolah rendah, menengah, dan institut pengajian tinggi dari pelbagai bangsa.

Bila penulis melihat keadaan ini, perpaduan yang diperlihatkan daripada pelbagai kaum untuk menjayakan program tersebut membuktikan betapa eratnya hubungan masyarakat di negara Malaysia. Terdetik di hati penulis sebagai kiasan minda bahawa alangkah bersyukurnya dan bangga menjadi anak Malaysia. Oh tanah airku.

Penulis sentiasa mendoakan kemakmuran dan kesejahteraan berkekalan hingga ke akhir hayat.Amin...

Negaraku Oh Malaysia...

Jumaat, 21 Mei 2010

Pengetahuan Am..





Baru-baru ini ke muzium negara, sebab ada pameran keranda. Keranda ? keranda pun nak tengok ke ? apa yang dapat kita gambarkan, keranda itu bentuknya petak, ada penutup. Sapa kata keranda tu petak, bentuk tempayan pun ada. Tapi, kalau nak tahu keranda ni pun ada sejarahnya. Walaupun perkara yang biasa, tapi kalau dibuat penyelidikan lebih mendalam, perkara yang biasa tu pun boleh jadi yang perkara yang luar biasa.

Tak dinafikan seseorang yang popular selalu diberi perhatian sehingga di muzium negara pun ada juga koleksi barang-barang mereka.




Kuasa pemerintahan tak pernah lupus dek zaman. Sama ada pada masa dulu hingga kini, pemerintahan adalah nadi kehidupan.

Segalanya adalah pengetahuan am. Sejarah adalah pengetahuan am, dan pengetahuan am adalah sejarah.

Isnin, 17 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita


Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta


Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan


Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

Jumaat, 14 Mei 2010

Jauhi Zina..







Doa Yang Menolak Zina
May 13th, 2010 by Abu Saif 2:50 pm

“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.

“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.

Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.

Solat.

Doa.


Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:








“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.

Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?

Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?

TELADAN MUJAHADAH YUSUF

Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai Zulaikha itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25) tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.

Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]

Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.

Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!

Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?





“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]

Kini Zulaikha tidak lagi sendirian. Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf. Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!

Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady, dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang perlu dibayar adalah PENJARA.

Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?

Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan zina?

Atau kalian dengan sengaja gemar berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?

Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.

MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA

Yusuf tinggal sendiri.

Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.

Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.



Yusuf (merayu kepada Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]

Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong. Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.

Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta, atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh memaksudkannya.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)

ENGKAU DAN DOAMU





Dirimu minta daripada Allah agar dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina? Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?

Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.



“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu, berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Doa menyaring hasrat hati.

Hanya hati yang berjaya membulatkan permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat.

Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha, sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang membinasakan.

HATI YANG IKHLAS

Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.



“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]

Allah Maha Mendengar permintaanmu.

Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.

Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.

Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.

Allah memberikan engkau penjara seperti yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti, seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]

Justeru anak muda, saat engkau mendepani kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan Doamu untuk mencari ketulusan hati.

Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.

Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ahad, 9 Mei 2010

kita sebuah keluarga.....(^_^)....

REHLAH ASIS 06




Pada hari Jumaat hari tu (7 Mei 2010) kami telah adakan program rehlah di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Rehlah ni kira bacth group aku la dekat UM ni. Walaupun semasa minggu belajar kami selalu berjauhan, membuat perkara masing-masing, namun dengan adanya program ini kami dapat berkumpul semula. Bila dapat bersama-sama, gembira, sedih bersama, ketawa bersama, dan semuanya bersama membuat kami rasa dekat sangat. Bagiku, keadaan ni merasakan seperti kami berada dalam satu keluarga.

"Semusim bersama, Seabad terasa"




Pelbagai aktiviti yang dilakukan, dan aktiviti-aktiviti ini mengimbau semula kenangan semasa kecil dahulu. Aku berasa bersyukur kepada Allah kerana menemukan aku dengan kawan-kawan seperti mereka. Kawan-kawan yang disayangi, setiap yang kita lalui pasti menjadi satu pahatan dalam warkah hati yang tersembunyi ini. Pengertian yang membawa erti harta seluruh alam tidak terluah oleh buih-buihan kata-kata, tapi menjadi memori emas yang terserlah di lautan kasih.


Ukhwah fillah, Pertemuan kerana Allah dan perpisahan jua kerana Allah. Maha berkuasa yang menemukan sesama makhluknya dan memisahkan mereka kerana satu perkara iaitu sinaran hikmah. Alangkah indahnya kebesaran ilahi.




Bertambah lagi keagungan kekuasaan-Nya dengan kebijaksanaan menciptakan dan mengatur alam ini dengan sempurnanya. Keindahan kejadian alam semula jadi dapat dihayati dengan lautan ombak di Teluk Kemang ini, panorama di persisiran pantai, dan sinaran matahari yang terbenam di ufuk barat membuktikan lagi kebijaksanaan-Nya. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Semoga ukhwah yang terjalin ini kekal sepanjang hayat dengan dibaluti keredhaan-Nya dan menjanjikan keindahan syurga di akhirat kelak. Insyallah.. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...(^_^)...

Selasa, 4 Mei 2010

Hidayah ilmu dan manusia ibarat hujan dan tanah...

Islam juga menekankan tentang peri pentingnya ilmu dalam kehidupan. Teringat saya satu hadis nabi S.A.W. yang memberi kiasan yang amat penting kalau dihayati apakah maksud yang hendak disampaikan oleh baginda S.A.W. iaitu hujan dan tanah ibarat hidayah ilmu dan manusia.

Hujan itu ibarat hidayah ilmu yang diturunkan Allah kepada hamba-hambanya. Manakala tanah yang menerima hujan itu ibarat manusia yang menerima ilmu tersebut. Situasi pertama, tanah yang subur dapat memberi air hujan yang turun kepada akar sesuatu tumbuhan dan justeru dapat menyuburkan tumbuhan dimana dapat memanfaatkan hidupan lain. Keadaan ini menggambarkan kepada seseorang yang menerima ilmu, dan dengan ilmu yang diperolehinya dapat dimanfaatkan dirinya dan kepada orang lain. Menjadi pembuka minda kepada masyarakat disekitarnya kearah yang lebih baik.

Situasi kedua ialah tanah yang keras hanya dapat menakungkan air. Air yang ditakungkan menjadi minuman kepada haiwan-haiwan lain. Hal ini menggambarkan seseorang yang menerima ilmu, tapi kurang berkemampuan daripada beberapa sudut. Namun, dengan ilmu yang ada, dapat disampaikan kepada orang lain untuk kebaikan bersama-sama.

Situasi ketiga ialah tanah yang kering dan tidak dapat memberi kesan apa daripada hujan yang turun itu. Keadaan ini cuba menggambarkan seseorang yang tidak ada ilmu malahan ilmu yang disampaikan pun tidak mahu diterimanya.

Jadi keadaan mana yang sahabatku rasa berada pada keadaan tersebut. Kalau tidak mampu menjadi tanah yang subur pun cukup la menjadi tanah yang keras. Kita dapat menyampaikan ilmu kepada orang lain untuk manfaat bersama-sama.Tetapi perlulah ada keazaman untuk menjadi seperti tanah yang subur. Insyallah..

alahai zaman sekolah rendah...


Teman-teman ku sekalian,
masihkah ada waktu untuk kita bertemu semula...
Teman....
masihkah kita ingat,
selepas keluarnya keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),
masing-masing keluar membawa haluan sendiri,
pergi tidak dikhabar,
datang tidak menegur,
hanya bayangan yang kelihatan,


Perhimpunan,
enam tahun kita bersama menyanyi lagu S.K.A.I
berdiri di depan tiga tiang bendera,
setiap tiang akan ada seorang pengawas menaikkannya,
pengumuman,pertandingan kelas tercantik,ucapan cikgu,
semuanya, disitulah pentas batu yang menjadi saksi,
Kelas,
Lelaki dengan telatah main-mainnya,
perempuan dengan telatah sembangnya,
kiranya,
waktu cikgu tak ada adalah waktu paling gembira,
kadang-kadang, bila cikgu mesyuarat,
ada pengawas yang bertugas untuk menjaga kelas,
untungnya,
bila waktu rehat pengawas keluar awal 5 minit,
Kantin,
semua harga murah,
air dua kupang, mee lima kupang, ada biskut packet dua kupang,
kalau bawa seringgit ke sekolah pun dah cukup,
tapi kena beratur, kalau tak, kena tulis nama dalam buku,
macam-macam la,
kalau nak coretkan tak tahu la berapa panjang,
tapi,
alangkah baiknya kalau masing-masing dapat bersama dan bercerita kembali kenangan kita bersama.
Semusim kita bersama, seabad kita terasa,

Sabtu, 1 Mei 2010

Khalifah di muka bumi tuhan...



"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan melaksankannya(berat) lalu pikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan bodoh."


surah Al-Ahzab (33) ayat (72)


Sedarkah kita wahai manusia tentang kenapakah aku dijadikan dan ditempatkan di muka bumi ini ? Pernahkah kita terfikir dan merenungkan kembali tentang kejadian diri kita ini ? Siapa pencipta diri kita ini ? Adakah kita mengenalinya ? Sejauh mana ?

Hari ini, ingin aku coretkan beberapa input yang bermanfaat untuk dikongsikan bersama sahabat sekalian sabagai kiasan minda dalam mendepani arus kehidupan. Sahabatku, alangkah baiknya jika kita menyedari bahawa kejadian kita di muka bumi bukanlah satu kejadian yang sia-sia.

Dijadikan sebagai manusia, adalah sebaik-baik kejadian makhluk yang dijadikannya. Allah S.W.T. memilih manusia untuk diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini iaitu pemelihara di atas muka bumi. Subhanallah, betapa kasihnya Allah kepada kita.

Namun, apakah persediaan kita untuk menjadi pemelihara di muka bumi ini ? untuk tujuan pembangunan dan ketamadunan manusia ? disini aku paparkan tiga perkara sebagai persediaan untuk kita semua. Aku telah ringkaskannya untuk mudah diingati. Tiga perkara itu adalah asas, virus dan singa. Pelikkan, kenapa asas, virus dan singa.

Sebenarnya sahabatku perkataan ini hanya melambangkan kata kunci kepada perkara yang hendak aku sampaikan. Asas disini adalah pada asalnya manusia ini dibekalkan persediaan menerima hidayah ilmu dan menerima didikan akhlak sebagai memenuhi peranan sebagai khalifah.

Perkara kedua pula adalah virus. Virus ini pula mewakili kepada fungsinya yang merebak. Hal ini cuba digambarkan kepada pengembangan zuriat yang di tuntut berasaskan sunnah agama dalam ikatan kekeluargaan merupakan satu perkara yang penting untuk memenuhi keperluan menerima ilmu, hidayah dan didikan.

Ketiga pula, adalah singa. Singa disini menggambarkan manusia itu perlu kepada berkepemimpinan bagi mengimbangi kecenderungan bertentangan antara manusia dan menghadapi cabaran alam tabi'i.

Sahabatku, perkara-perkara tersebut adalah persediaan manusia sebagai khalifah. Khalifah di bum juga adalah tanggungjawab yang besar perlu dipikul oleh semua manusia. Oleh itu mengenali siapa Pencipta adalah menjadi perkara utama mengapa kita melakukan amanah yang diletakkan ke atas bahu kita.

Perbicaraannya akan disambung dalam satu topik yang lain nanti... insyallah..